Isnin, 5 September 2022

KHATMUL QALBI: PISAU VS BATU PENGASAH

 بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ




KHATMUL QALBI: PISAU VS BATU PENGASAH


Kali ini mari kita bersama tadabbur ayat berikut:


Surah Al-Baqarah ayat 6:

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ سَوَآءٌ عَلَيْهِمْ ءَأَنذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنذِرْهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ ٦

"Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman."


Dalam pengajian tafsir, kami dimaklumi bahawa ini adalah contoh ayat yang memperihalkan tentang keadaan manusia yang telah menepati istilah tafsir yang ke-15, Khatmul Qalbi. Ia adalah tahap keempat dan terakhir kesesatan, bilamana manusia berterusan mengingkari ajakan tauhid. 


Ringkasnya, 4 tahap kesesatan itu adalah seperti berikut:


1. RAAIBUN/ SYAKKUN (meragui kebenaran) - keadaan awal ke arah kesesatan bila mana seseorang itu MERAGUI kebenaran dakwah tauhid yang disampaikan kepadanya. 


2. DHOLALAH (menolak kebenaran) - bila penerima ajakan tauhid ini bukan setakat meragui, tapi mulai cenderung menolaknya. Dia mulai menolak ajakan dakwah tauhid yang telah disampaikan kepadanya.


3. MUJADALAH (melawan kebenaran) - bilamana orang itu bukan setakat meragui, tidak menerima bahkan mulai melawan dakwah tauhid yg disampaikan kepadanya, maka naiklah tahap kesesatannya kepada tahap ke-3 ini.


4. KHATMUL QALBI (tutupan hati) - bilamana sering sangat melawan dakwah tauhid yang disampaikan, dikhuatiri akan sampai ke tahap ini, yang mana Allah telah begitu murka kepadanya, lalu ditutup terus hatinya daripada menerima ajakan tauhid. Orang jenis ini tiada lagi peluang untuknya untuk dapat lagi menerima dakwah tauhid yang disampaikan, malah sentiasa menolak dan menentang. Orang jenis ini, hatinya telahpun mati, walaupun jasadnya masih bernyawa. Mereka ini adalah calon neraka, tunggu mati sahaja.


Maka, ayat yang sebutkan di atas adalah memperihalkan keadaan orang yang telah berada pada tahap ke-4 kesesatan begini. Semua panca indera yang ada pada mereka, telahpun ditutup oleh Allah daripada menerima ajakan tauhid, sudah tak boleh terima lagi kebenaran, walaupun semua derianya itu masih sihat dan dia sangat cerdik dalam hal ehwal dunia. Oleh yang demikian, memang pun wujud orang yang tinggi tahap keilmuannya,  malah ada PhD lagi, tapi tidak faham-faham bab asas dalam agama,  tak mampu beza tauhid vs syirik, sunnah vs bid'ah. Mereka ini mungkin sudah mencapai tahap kesesatan peringkat ke-4 ini. Nauzubillah!


Bagi kita yang memang disuruh Allah untuk menyampaikan dakwah tauhid, apakah kita patut berhenti bila berjumpa dengan orang yang mempunyai ciri-ciri Khatmul Qalbi ini? 


Jawabnya, TIDAK.


Kenapa pula tidak, sedangkan dalam ayat tu sebut, orang yg sudah sampai ke peringkat Khatmul Qalbi ini tak mungkin lagi beriman? Tak sia-siakah menyampaikan dakwah kepada mereka?


Jawabnya, kalaupun mad'u yang kita dakwah itu sudah mencapai tahap Khatmul Qalbi, dakwah kita itu tetap tidak akan sia-sia, bahkan ada manfaatnya kepada si penyampai dakwah.


Izinkan saya huraikannya secara berperingkat.


1. Hanya Allah yang tahu siapa yang sudah ditutup pintu hatinya (khatmul qalbi).  Kita semua tidak tahu, melainkan apa yang sudah disebutkan dalam wahyu. Maka, kita perlu berdakwah kepada siapa sahaja, kerana mana tahu, dengan usaha dakwah kita itu, akhirnya orang didakwahi itu akhirnya menerima hidayah, atas asbab usaha kita. Jika demikian, besar sungguh pahala yang kita dapat.


2. Walaupun seseorang itu secara jelas dan berkali-kali menentang dakwah yang kita sampaikan, kita tidak sepatutnya berputus-asa lalu menganggap dia sudah "tiada harapan" lagi. Mana tahu, dengan berkat kesabaran kita, dia akhirnya akan terima ajakan tauhid kita, akhirnya. Who knows?


Malahan, jika kita lihat catatan Sirah, ramai juga tokoh yang asalnya sangat memusuhi dakwah Nabi ﷺ, bahkan sampai ke tahap memerangi Nabi ﷺ dan cuba membunuh Baginda ﷺ. Bukan sekali, bahkan banyak kali. Bukan sekejap, tapi bertahun-tahun lamanya memerangi Nabi ﷺ. Antara tokoh yang dimaksudkan adalah Abu Sufian RA, Khalid alWalid RA dan Ikrimah bin Abu Jahal RA. Kesemua mereka akhirnya beriman dengan tulus, sehingga mendapat gelaran Radhiallau 'anhu ( RA - Allah redha ke atasnya), kerana mereka semua telah tergolong dalam kalangan sahabat Nabi ﷺ yang setia.


Begitulah, walaupun seseorang itu memperlihatkan ciri-ciri penentangan keras terhadap seruan dakwah, jika Allah belum cop hatinya sebagai Khatmul Qalbi, lambat-laun, dia berkemungkinan akan terima juga seruan tauhid. Jangan putus asa untuk mendakwahi mereka.


3. Walaupun orang yang kita dakwahi itu sudah sememangnya Allah telah chop hatinya sebagai Khatmul Qalbi (hakikat ini hanya Allah yang tahu - point no. 1 tadi),  kita tetap mendapat manfaat jika terus mendakwahi mereka. 


Apakah manfaatnya, kerana dia tetap tak akan beriman?


Manfaatnya adalah kepada si pendakwah itu secara khusus. Sebarang kesungguhan, kesusahan dan keperitan yang telah dilalui oleh pendakwah dalam usaha menyampai dakwahnya itu akan tetap mendapat berkat dan rahmat daripada Allah, kerana berusaha berdakwah, walaupun ditolak.  


Di sinilah guru saya ada memberikan satu perumpamaan,  "ibarat pisau (pendakwah) vs batu pengasah (penentang dakwah)". Sebagaimana pisau yang tumpul, kalau terus diasah (yakni diasak) oleh penentang dakwah, jika dia tetap bersabar atas jalan dakwah, insyaAllah, Allah akan memberkati usahanya itu. Malah, Allah akan meneguhkan lagi hatinya di atas jalan dakwah itu. Yang penting, jangan putus asa dan terus bersabar dan tetap istiqomah dalam menjalankan kerja dakwah.


Ingatlah, jalan dakwah ini tidak mudah. Malah penuh dengan mehnah. Tapi, inilah sebaik-baik usaha dalam kehidupan seorang Muslim, setelah jihad fi sabillah. 


Firman Allah, 


Surah Fussilat, Verse 33:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ


Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"


Marilah kita tanamkan azam untuk mengamalkan maksud ayat ini, semoga kita tergolong dalam kalangan hamba Allah yang diredhaiNya


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KHATMUL QALBI: PISAU VS BATU PENGASAH

 بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ KHATMUL QALBI: PISAU VS BATU PENGASAH Kali ini mari kita bersama tadabbur ayat berikut: Surah Al-Ba...