Khamis, 9 Januari 2020

Daurah Tafsir Al Quran 50 hari Percuma

بِسْمِ اللَّهِ

Iklan Daurah 2020

Allah Taala berfirman:

‎وَلَقَدْ يَسَّرْنَا ٱلْقُرْءَانَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ 

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?”. 
Al Qamar ayat 32.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 

"Sebaik-baik kalian atau seutama-utama kalian adalah yang belajar al Qur'an dan mengajarkannya." 
Sahih. Tarmizi 2833 

Marilah kita cuba mengetahui seluruh kandungan Al Quran lengkap 30 juz walaupun kita tidak tahu membaca secara bertajwid sekalipun kerana inilah tanggungjawab kita sebagai hambaNya untuk memahami tujuan kita manusia makhluk terbaik diwujudkan olehNya ke manakah pengakhiran kita nanti (samada di syurga atau neraka). 

Pengajian daurah ini akan disampaikan sepenuhnya oleh Maulana Abdul Hadi Yaakub dalam  bahasa Melayu standard.  Beliau telah lama mempunyai sanad pengajian setelah menghadiri beberapa siri Daurah Tafsir Al Qur’an di Rahim Yar Khan, Pakistan. Guru beliau adalah Mufti Muhammad bin Abdul Ghani Al Jajrawi, seorang Mudir dan juga Syeikhul Hadith di Jamiah Islamiyyah Badrul Uloom Hammadiyah, Rahim Yar Khan, Pakistan. Tafsiran Al Quran adalah berdasarkan kepada lebih daripada 50 kitab2 tafsir muktabar seperti Jalalain, Ibnu Kathir dll yang telah disusun oleh Maulana Husin Ali Alwani. Tiada kitab tafsir khusus cuma setiap peserta mesti ada mana2 kitab Al Quran terjemahan (kelulusan JAKIM) seperti pimpinan Ar Rahman (keluaran Jabatan Perdana Menteri) dan seumpamanya sebagai bahan kuliah. Usul tafsir, istilah2 tafsir dan faedah tafsir akan diajar secara ringkas melalui nota2 kuliah di peringkat awal daurah.

Jadual pengajian adalah seperti berikut:

*BULAN SYA'BAN:*
Pagi: 10.00 ~ 12.30 tengahari.
Zohor-Asar: Rehat.
Petang: Selepas solat asar ~ 6.30 petang.
Malam: Maghrib ~ Isya'.

*BULAN RAMADHAN:*
Pagi: 9.00 ~ 12.30 tghari 
Zohor-Asar: Rehat
Petang: Selepas solat asar~ 6.30 petang
Malam: Tiada kelas.
*jadual tertakluk kepada perubahan.

Sehingga kini (2019) 11 kali daurah tafsir/terjemah Al Quran telah diadakan sejak tahun 2008 (termasuk sekali di Makkah pada tahun 2011). Sejumlah 965 sanad (yang memenuhi syarat) telah dikeluarkan kepada sekurang-kurangnya 2500 peserta yang telah berdaftar. 
Peserta2 adalah datang dari pelbagai latarbelakang pendidikan (agama atau akademik), profesion, peringkat umur, tempat dan fahaman. Malah ada yang bukan Islam tetapi memeluk Islam setelah beberapa hari mengikuti kuliah. Mereka semua datang dari berbagai negara seperti vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina, Sabah, Sarawak dan semenanjung Malaysia dengan satu tujuan iaitu untuk memahami kitab Allah daripada guru yang bersanad. 

Makan minum adalah di bawah tanggungan masing2 kecuali peserta yang tinggal di asrama pondok (giliran memasak mengikut kumpulan). Setiap tahun prasarana dipertingkatkan untuk menampung dan memberi keselesaan kepada peserta yang semakin bertambah terutama pihak muslimah, warga emas dan orang kelainan upaya.

Sehingga kini pihak pondok hanya dapat menyediakan tempat penginapan kepada muslimin samada di asrama pelajar pondok atau di masjid. Kelengkapan penginapan seperti bantal, sleeping bag, selimut & mosquito net adalah perlu dibawa sendiri.
Manakala yang berkeluarga dan muslimah perlulah mencari homestay/rumah sewa berdekatan. Pihak pondok boleh membantu dalam hal ini tetapi perlulah dimaklumkan lebih awal.

Pendaftaran boleh dilakukan mulai sekarang secara online melalui https://darululoom.my/daftar atau whatsapp  +60 13 989 9062 (Ustaz Ahmad Nordin)

Lokasi pondok Darul Uloom, Laklok, Jerteh, Terengganu berada di sempadan negeri Kelantan dan Terengganu. Peserta boleh datang dengan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam seperti:
 1. Kapal terbang: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu adalah lebih dekat dan terletak lebih kurang 66km dari pondok
 2. Bas: stesen bas bandar Jerteh adalah stesen yang terdekat terletak lebih kurang 6.4km dari pondok
Urusan pengambilan peserta dari lapangan terbang tersebut atau stesen bas bandar Jerteh boleh diuruskan oleh pihak pondok jika dimaklumkan lebih awal.

LATARBELAKANG AL FADHIL MAULANA HJ ABDUL HADI BIN HJ YA’AKUB, MUDIR PONDOK DARUL ULOOM, LAKLOK, JERTIH, TERENGGANU DAN PENGAJIAN TAFSIR YANG DIJALANKAN.

Al Fadhil Maulana Hj Abdul Hadi bin Hj Ya'akub beliau berasal dari Pasir Puteh, Kelantan. Dilahirkan di Kg Lembah, Cherang Ruku, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan pada tahun 1965. Beliau boleh diumpamakan sebagai permata di dasar laut yang walaupun alim (berilmu) tetapi tidak dikenali ramai. Beliau sendiri tidak menonjolkan dirinya sebagai seorang yang alim dan menolak tawaran dan jawatan duniawi. 

Beliau menginfaqkan dirinya untuk menyebarkan kalamullah kepada seluruh ummat. Menyeru kepada mentauhidkan Allah berdasarkan Al Qur’an dan Sunnah, menolak syirik dan bid’ah.

Semenjak Al Fadhil Maulana Hj Abdul Hadi memulakan pengajian agama menengah beliau di Maahad Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan lagi beliau telah menunjukkan kesungguhan mendalami ilmu agama sehingga ke peringkat yang tertinggi. Selepas tamat tingkatan lima di Maahad Muhammadi beliau telah bermusafir untuk meneruskan pengajian di Karachi, Pakistan dalam bidang tahfiz Al Qur’an di Jamiah Darul Uloom Karachi. Kemudian beliau meneruskan pengajian Uloom Syariah di Jamiatul Uloom Islamiyyah Allamah Yusof Binnori hingga tamat Dauratul Hadith. Di sini beliau pernah dinobatkan sebagai pelajar kedua terbaik syahadah aliah (wifaqul madaaris) bagi keseluruhan pengajian madrasah di Pakistan.

Kemudian beliau mendalami lagi ilmu hadis dengan Syeikh Allamah AbdurRashid Nu’mani (pengarang muqaddimah Ibnu Maajah) satu2nya muhaddis yang masih hidup masa itu. Pengajian talaqi mingguan selama 2 tahun. Beliau juga mendalami kitab2 ulamak tersohor bumi Hind, Imam Syah Waliyullah Ad Dehlawi atau nama sebenarnya Imam Al-Kabir Sheikh Ahmad Abdur Rahim Ibn As-Shahid Wajihuddin Ibn Mu'azzam Ibn Mansur Ibn Mahmud Dahlawi, di Syah Waliyullah Academy di Hyderabad, Sindh, Pakistan. Antara kitab utama & terakhir Syah Waliyullah adalah Kitab Hujjatullah al Balighah. Beliau memperolehi sanad kitab Hujjatullah al Baalighah dan lain-lain kitab Syah Waliyullah Ad Dehlawi melalui gurunya, Maulana Ghulam Mustoffa Al Qosimi As Sindhi, Pengarah Syah Waliyullah Academy pada ketika itu.

Beliau bertalaqi dengan lebih tujuh(7) orang guru Al Quran dan memiliki lima(5) Sanad Tafsir Al Quran yang berbeza. Salah satu antaranya adalah Tafsir Al Quran kaedah Maulana Husain Ali Al Wani yang berdasarkan lebih 50 kitab tafsir muktabar. Sanad ini beliau perolehi setelah menghadiri beberapa siri Daurah Tafsir Al Qur’an di Rahim Yar Khan, Pakistan. Guru beliau adalah Mufti Muhammad bin Abdul Ghani Al Jajrawi, seorang Mudir dan juga Syeikhul Hadith di Jamiah Islamiyyah Badrul Uloom Hammadiyah, Rahim Yar Khan, Pakistan. Mufti Muhammad adalah salasilah guru yang ketiga(3) selepas Husain Ali Al Wani. 

Kaedah pengajian di Badrul Uloom inilah yang membuka minda beliau tentang kepentingan pengajian daurah tafsir kepada bukan sahaja pelajar agama malah kepada orang awam  demi mengenali Allah Taala melalui Kitab Al Quran. Maka beliau berusaha mengadaptasikannya di Malaysia melalui Pengajian Daurah Tafsir di Pondok Darul Uloom, Laklok.
 
Setelah kembali dari Pakistan, sepanjang Ramadhan mulai tahun 1998 sehingga tahun 2003, Maulana Hj Abdul Hadi bersungguh2 secara khusus mempelajari Feqah Mazhab Asy Syafie, terutama Kitab Tahrir karangan Al Imam Zakaria Ansori berguru dengan  Baba@Tuan Guru Hj Zakaria atau lebih dikenali dengan panggilan Pokcik Ya di Pondok Posan, Pattani, Thailand yang juga merupakan bekas salah seorang Ahli Majlis Fatwa Pattani. Ini untuk memantapkan lagi ilmu feqah beliau dalam mazhab yang beliau anuti di samping mazhab Hanafi yang beliau telah pelajari di Pakistan.

Al Fadhil Maulana Hj Abdul Hadi pernah berkhidmat mengajar selama kira-kira 4 tahun di Madrasah Markaz Yala, Selatan Thailand sebelum membuka madrasah@pondok sendiri di Jerteh, Terengganu. 

Bermula di Surau Kg Tok Kundur, Bukit Kenak pada tahun 1999, beliau kemudian berpindah dan membuka Pondok Darul Uloom di Kg Laklok, Jerteh pada tahun 2001. Bermula dengan pelajar-pelajar tahfiz Al Qur’an, beliau telah berjaya melahirkan asatizah yang memahami dan menguasai ilmu tauhid berdasarkan Al Qur’an dan Sunnah serta berjaya membimbing pelajar-pelajar biasa menjadi murrabi ummah. Beliau juga sangat aktif dalam aktiviti dakwah Jemaah Tabligh sebagaimana arwah ayahanda beliau lakukan sejak kecil lagi.
 
Pendorong utama kepada kejayaan pengajian dan pengajaran beliau adalah arwah ayahanda beliau sendiri dan Maulana Nik Mohamad Paya Purnama, Kota Bharu yang beliau anggap seperti abangnya sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KHATMUL QALBI: PISAU VS BATU PENGASAH

 بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ KHATMUL QALBI: PISAU VS BATU PENGASAH Kali ini mari kita bersama tadabbur ayat berikut: Surah Al-Ba...